1. Apakah itu proses pengomposan
Pengomposan adalah proses penguraian (pengoksidaan) sisa buangan organik kepada bahan akhir yang stabil yang boleh digunakan semula untuk tanaman. Aktiviti penguraian atau pengoksidaan bahan ini dipengaruhi unsur mikroorganisma pengudaraan, kelembapan dan nutrien substrat atau bahan dikompos yang bersesuaian.
2. Apakah faktor-faktor penting dalam proses pengomposan
Beberapa faktor berkaitan memainkan peranan yang penting dalam mempastikan proses pengomposan berlaku dengan sempurna. Ini termasuklah:
Mikroogranisma merupakan elemen utama dalam proses pengomposan. Penguraian bahan organik berlaku atas tindak balas mikroorganisma. Mikroorganisma biasanya hadir dan wujud secara semula jadi di dalam sumber sisa yang digunakan.
Kelembapan ditambah menggunakan sumber air yang ditambah ke dalam timbunan kompos. Kelembapan (air) yang optimum adalah pada kadar 60 peratus. Sekiranya kurang daripada 40 peratus akan menghalang aktiviti mikroorganisma, Jika melebihi 65 peratus akan menyekat pergerakan udara di dalam timbunan.
- Pada tempoh awal pengomposan, suhu timbunan akan meningkat secara mendadak antara 30 hingga 60°C.
- Proses pengomposan yang baik dapat dilihat apabila suhu melebihi 60°C selama dua minggu atau lebih bergantung pada saiz kompos.
- Walau bagaimanapun, sekiranya suhu naik mendadak melebihi 65°C, adalah dinasihatkan supaya timbunan kompos dibalikkan untuk mengekalkan suhu sekitar 60°C sahaja.
- Tujuan pengudaraan adalah untuk membekalkan mikroorganisma dengan oksigen mencukupi untuk melaksanakan proses penguraian.
- Pengudaraan boleh dilakukan secara pembalikan (turning) kepada timbunan kompos.
- Nisbah karbon:nitrogen (CN)
- CN bermaksud nisbah komposisi karbon kepada nitrogen pada keseluruhan awal timbunan kompos.
- Nilai nisbah CN yang optimum dalam lingkungan 20 hingga 30:1 dan sekiranya lebih dari 30:1 akan melambatkan aktiviti mikroorganisma kerana kandungan nitrogen yang tidak mencukupi. CN yang terlalu rendah (< 18:1) boleh menyebabkan timbunan kompos berbau kerana kehilangan N ke persekitaran.
- Saiz timbunan yang minimum diperlukan supaya kompos dapat mengekalkan haba dan suhu panas seterusnya mikroorganisma dapat bertindak balas dengan sempurna.
- Saiz minimum timbunan kompos ialah 1.5 meter (m) X 1.5m X 1.5m.
3. Bagaimanakah kaedah memulakan kompos secara teknik lapisan atau layering
- Penentuan Campuran Awal Kompos
Kompos boleh dicampur mengikut nisbah 20:1 atau 30:1. Secara anggaran, nilai ini adalah bersamaan dengan isi padu tiga bahagian dedaun dan satu bahagian tinja atau empat bahagian dedaun dan satu bahagian tinja.
- Kaedah Mencampurkan Bahan awal Kompos
Proses bermula dengan satu lapisan daripada unsur berserat (karbon) seperti dedaun diletakkan di bahagian paling bawah dan diikuti dengan unsur yang lain seperti tinja kambing (nitrogen). Air disiram di setiap lapisan dan prosedur yang sama diulangi hinggalah mencapai ketinggian 1.5m atau lebih. Kebiasaannya, pada akhir proses perkomposan, penutup seperti kanvas akan digunakan untuk menambah haba terhadap timbunan tersebut
4. Bagaimanakah kaedah pengurusan sewaktu proses pengomposan
Menerusi kaedah ini, pengendalian kompos boleh dilakukan secara manual terutama sekali dalam proses pembalikan kompos setiap tiga hari atau seminggu sekali untuk memastikan proses penguraian berlaku dengan sekata. Penilaian awal dan pengurusan berkala boleh dilakukan sebagai petanda kompos berlaku dengan baik adalah seperti berikut:
- Penilaian awal kualiti timbunan kompos
Selepas kompos dicampurkan, hasil paling cepat boleh dilihat dalam satu atau dua hari iaitu timbunan kompos akan mula memanas dan mengeluarkan wap air di samping suhu timbunan meningkat sehingga 60 darjah
- Pengurusan secara berkala
Proses pembalikan kompos biasanya dilakukan setiap tiga hari. Walau bagaimanapun, pembalikan seminggu sekali juga biasa dilakukan. Di samping itu, air atau kelembapan ditambah secara berkala ke atas timbunan kompos mengikut keperluan.
5. Bagaimana pula kaedah pengurusan kompos setelah siap
Ciri-ciri kompos yang telah siap akan mengalami penyusutan berat dan isi padu antara 50 hingga 60 peratus , berwarna coklat kehitaman dan berbau seperti humus. Pada kebiasaannya, suhu kompos akan menjadi sekata pada suhu bilik apabila ia menjadi matang.
- Kisaran atau shredding (sekiranya terdapat peralatan atau jentera bersesuaian)
Selepas proses pengeringan, kompos boleh dihancurkan dengan menggunakan mesin penghancur (shredder). Tujuan proses ini adalah untuk memastikan saiz kompos yang lebih sekata.
Kompos kebiasaannya dibungkus di dalam guni terpakai untuk digunakan semula. Sekiranya untuk tujuan komersial, bahan pembungkus yang baru akan digunakan.
Kompos kebiasaannya disimpan pada suhu persekitaran seperti di kawasan bangsal.